Thursday, June 24, 2010

Lelaki juga wajib tutup kepala


Oleh Astora Jabat

KITA sering mendengar cerdik pandai agama termasuk yang bergelar ulama membincangkan tentang hukum wajib wanita menutup kepala atau memakai tudung, tetapi kita tidak pernah mendengar ada cerdik pandai bercakap tentang hukum yang sama dikenakan ke atas lelaki.

Lelaki juga dianggap wajib menutup kepala atau melilit kepala dengan kain serban jika merujuk kepada apa yang disebut dalam beberapa nas agama dengan menggunakan pendekatan yang sama seperti yang dilakukan untuk berijtihad atau mengeluarkan hukum wajib menutup kepala bagi wanita.

Terdapat tidak kurang daripada tujuh ayat al-Quran yang membincangkan tentang wajib menutup aurat termasuk mengenakan tudung kepala. Empat daripada ayat tersebut terdapat dalam surah al-Ahzab dan tiga selebihnya terdapat dalam surah an-Nur.

Dalam sunah pula terdapat lebih 150 hadis yang menyebut tentang perkara yang sama.

Separuh daripada hadis itu membincangkan tentang tudung wanita dan separuh lagi menyentuh mengenai serban lelaki.

Penulis akan menurunkan di sini dua ayat dan beberapa hadis yang boleh dijadikan hujah bahawa bukan saja wanita yang diwajibkan menutup kepala jika ditafsir dan dihuraikan mengikut pandangan kebanyakan ulama, tetapi lelaki pun turut kena berbuat demikian.

Ayat yang sering dijadikan hujah secara tafsiran dan huraian untuk membuktikan wanita wajib menutup kepala ialah ayat 30 daripada an-Nur.

Ayat itu bermaksud: ``Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.'' (An-Nur 24:30).

Berdasarkan kepada ayat ini wanita dianggap wajib mengenakan tudung kepala kerana terdapat arahan dalam ayat itu yang bermaksud menuntut lelaki supaya merendahkan pandangan ketika berhadapan dengan wanita.

Sesetengah ulama yang berpegang pada pandangan yang lebih keras pula berhujah dengan ayat tersebut untuk membuktikan bahawa bukan saja kepala atau rambut saja diharamkan wanita memperlihatkannya, tetapi juga muka, dua telapak tangan dan kaki kerana seluruh tubuh wanita dianggap aurat. Ini barangkali berdasarkan pada sebuah hadis sahih bertaraf ahad yang tidak begitu kuat bermaksud: ``Wanita itu aurat.''

Pandangan yang keras ini muncul sejak beratus-ratus tahun dulu tetapi kini ia tidak popular kecuali di kalangan kebanyakan ulama Wahhabi. Sesetengah orang Islam negara ini turut mengamalkan pandangan ini.

Bagaimanapun, tahukah anda jika ditafsir dan dihuraikan ayat 30 daripada surah an-Nur itu bahawa wanita wajib menutup kepala atau menutup seluruh tubuhnya kerana lelaki dituntut dalam ayat itu supaya merendahkan pandangan ketika berhadapan dengan mereka (wanita), maka hukum yang sama wajib dikenakan ke atas lelaki.

Ini kerana ayat sebelumnya daripada surah yang sama (ayat 31) ada menuntut supaya wanita juga merendahkan pandangan ketika berhadapan dengan lelaki.

Ayat tersebut bermaksud: ``Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya merendahkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka.''

Mungkin tidak menjadi masalah untuk lelaki mengenakan serban atau melilit kepala kerana ramai juga penduduk Islam negara ini termasuk yang bergelar ustaz dan ulama berbuat demikian walaupun mereka menganggap perkara itu sebagai sunat dan bukan wajib. Atau paling tidak mereka mengenakan songkok dan kupiah yang menutup sebahagian kepala dan rambut. Itu semua penulis percaya mampu dilakukan oleh ramai lelaki.

Bagaimanapun, jika sampai ke tahap mahu menyuruh lelaki menutup muka dan dua tapak tangan atau menutup litup seluruh tubuh seperti yang diamalkan oleh wanita Taleban di Afghanistan, sudah tentu tidak ada lelaki yang dapat melakukannya. Malah mungkin kaum lelaki akan memberontak jika ada ulama memperkenalkan hukum seperti itu untuk dilaksanakan dalam masyarakat.

Cuma nasib baik hukum fiqah yang ada sekarang lebih bersifat partiarkal yang diijtihad dan digubal oleh kaum lelaki. Dengan itu tidak hairan jika terdapat banyak sekali hukum fiqah yang lebih berpihak kepada kaum lelaki dan kurang berpihak kepada kaum wanita.

Mungkin hukum-hukum fiqah seperti itu jika dibuat pada zaman martiarkal dulu di mana kaum wanita menguasai dan memimpin masyarakat, kaum lelaki pula akan dilihat sebagai terkongkong dan tertindas.

Malah pada zaman partiarkal ini jika ada ulama-ulama syariah dan fiqah di kalangan wanita, sudah tentu segala-gala hukum berkaitan dengan mereka akan menjadi lebih relevan dan tidak dilihat sebagai terkongkong dan tertindas seperti sekarang.

Tetapi apa boleh buat, walaupun ramai cerdik pandai wanita lebih hebat dari segi ilmu dan pengetahuan agama berbanding kaum lelaki yang menjadi ulama terkenal termasuk di negara ini, mereka tidak ditonjolkan dan tidak diperkenalkan sebagai ulama.

Semua ini berpunca daripada faktor partiarkal melampau yang menepati jiwa ramai kaum lelaki. Lantas kaum wanita diketepikan dan tersingkir dalam bidang agama.

Mereka tidak kelihatan dalam bidang agama kecuali menjadi ekor semata-mata.

Sistem masyarakat dan egoisme kaum lelaki ini jugalah yang menyebabkan semua jawatan agama tinggi seperti mufti dan kadi tidak diberi kepada kaum wanita.

Perlu diterangkan di sini bahawa terdapat satu ungkapan al-Quran yang menjadi sambungan kepada ayat 31 daripada surah an-Nur tadi dan dianggap menjadi hujah yang paling kuat digunakan untuk membuktikan bahawa wanita wajib menutup kepala.

Sambungan ayat berkenaan bermaksud: ``Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.'' (An-Nur 24: 31).

Inilah salah satu kelebihan nas al-Quran yang dihujahkan untuk membuktikan bahawa wanita wajib memakai tudung berbanding untuk dihujah terhadap lelaki.

Bagaimanapun, terlalu banyak hadis yang menuntut supaya lelaki mengenakan serban atau melilit kepala dengannya. Di antara hadis-hadis itu ialah:

- ``Hendaklah kamu memakai serban dan labuhkan (hujungnya) ke belakang kamu kerana sesungguhnya ia tanda para malaikat.'' (At-Tabarani dan al-Baihaqi).

- ``Berserbanlah kerana para malaikat itu berserban.'' (At-Tabarani).

- ``Berserbanlah nescaya bertambah kesabaran kamu.'' (Al-Bazzar dan at-Tabarani).

- ``Serban adalah sekatan antara kufur dan iman. (Ibn at-Tayalisi dan Ibn Abi Syibah). Dalam dalam satu riwayat lain disebut serban sekatan antara kaum Muslimin dan kaum musyrikin.

- Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah menyuruh Abdul Rahman bin `Auf supaya menurunkan hujung serbannya ketika beliau diarah mengepalai sebuah peperangan. (At-Tabarani dan al-Bazzar).

Semua hadis yang dipilih itu adalah lima contoh hadis suruhan yang mengandungi arahan Rasulullah s.a.w. yang sepatutnya bermaksud wajib dilaksanakan.

Penulis ketepikan puluhan lagi hadis penceritaan yang mengisahkan bahawa Rasulullah memakai serban tanpa mengenakan suruhan supaya kaum lelaki mengamalkan adat pakaian itu.

Berdasarkan kepada hadis-hadis suruhan mengenai arahan Rasulullah itu, ia sepatutnya memberi maksud kaum lelaki wajib memakai serban.

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah kebanyakan ulama dahulu dan sekarang menganggap memakai serban adalah sunat dan bukan wajib sama ada ketika mengerjakan sembahyang mahupun ketika lainnya kerana rambut lelaki tidak dianggap aurat.

Sebaliknya para ulama itu menganggap wajib kaum wanita memakai tudung bila mereka merujuk kepada hadis-hadis yang mempunyai suruhan Rasulullah seperti hadis-hadis yang ditujukan kepada kaum lelaki itu.

Bagaimanapun, semua hadis mengenai serban merupakan hadis sahih bertaraf ahad yang tidak begitu kuat seperti semua hadis yang membincangkan tentang tudung wanita.

- PERBINCANGAN BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

* Sumber: Mingguan Malaysia 20Mei 2001

* Sumber:

3 comments:

  1. u pakai songkok sudah berapa lama dari tahun berapa? bila solat je ke baru pakai? kalau u betol2 yakin apa yang u tulis tu, kenapa x pakai setiap masa bermula dari u?

    macam mana orang yang banyak belajar macam u boleh jadi mcm nie? u x suka bermazhab, xpe, simpan la untuk diri sendiri. x payah nak bagi tau satu malaysia. u nak cari apa ckp kuat2? populariti? u nak popular jugak? haha

    mufti perlis pon sama dgn u 2x5. kitab malik al muwatta x payah baca,buang sungai lagi baik,kan. tu dia la yg cakap bukan i.

    u agen negara atau agama mana ni? sebab kalau u cakap berdasarkan agama islam,rasanya x de org yg mengiyakan melainkan u dan mungkin ahli keluarga u dan org2 yg baru belajar.

    u umur berapa sekarang ni? x nak taubat ke daripada teks2 yang bercanggah ni? u kan mendahului ulama' selurh dunia sebab tu u hebat.sangat hebat.betul. i teringin nak tgk keadaan u di alam akhirat kelak,nk tgk u masok pintu mana.sama ada u betol ke tidak. sama ada u hebat atau u diazab.

    disebabkan u,orang percaya tulisan u.ada yg tulis,nabi muhammad mana boleh tahu ramai wanita masuk neraka dan ramai orang miskin msuk syurga, u tau x? mcm mana nk betulkan tu? disababkan u dia salah faham n salah langkah.i rasa nnt dia akan tuntut sesuatu dari u dihadapan Allah kelak. Percayalah

    ReplyDelete
  2. salam perkenalan
    done follow

    http://www.iuzira.com/2013/05/combo-give-away-by-intan.html

    ReplyDelete