Monday, May 24, 2010

Aurat dari kaca mata ulama moden

Oleh  ASTORA JABAT

PANDANGAN ulama dan cerdik pandai agama masa silam mengenai aurat telah pun disentuh secara agak panjang lebar dan yang tinggal lagi ialah pandangan ulama dan cerdik pandai agama zaman kini.

Secara ringkas penulis telah pun membawa pandangan beberapa ulama dan cerdik pandai agama zaman ini seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mohammad al-Ghazali, Fahmi Huweidi dan Gamal Al-Banna.

Minggu ini penulis ingin membincangkan pandangan mereka secara lebih terperinci.

Dr. al-Qaradawi pada masa lalu tidak langsung bertolak ansur dalam soal pemakaian tudung kepala. Tahun lalu dalam satu wawancara secara langsung dengan televisyen Emiriyah Arab Bersatu (UAE) al-Jazeera yang dipancar melalui satelit ke seluruh dunia, seorang penonton dari Tunisia menyoal Dr. al-Qaradawi, apakah haram hukumnya seorang isteri membuka tudung kepala kerana si suami memaksanya berbuat demikian?

Dr. al-Qaradawi tidak menjawab soalan yang dibentangkan oleh penonton dari Tunisia itu. Sebaliknya beliau meminta penonton itu memberi peluang kepada beliau untuk berbincang dengan ulama-ulama lain.

Penulis percaya untuk soalan penonton itu, Dr. al-Qaradawi tidak perlu pun berbincang dengan ulama-ulama lain kerana semua mengetahui kaedah `keterpaksaan mengharuskan perkara-perkara yang haram.’

Sudah tentu bukan Dr. al-Qaradawi tidak mengetahui kaedah ini tetapi wawancara langsung mingguan beliau dalam televisyen al-Jazeera itu merupakan ruangan televisyen yang sangat popular terutama di negara-negara Arab kawasan Teluk yang terkenal dengan majoriti penduduk berpegang kepada pandangan agama ultrakonservatif iaitu Wahhabi dan ajaran-ajaran agama yang hampir setaraf dengannya.

Dr. al-Qaradawi walaupun sangat popular di negara-negara Arab Teluk tetapi beliau sendiri sering diserang dan dikecam oleh ramai ulama negara-negara Arab berkenaan. Ulama-ulama itu tidak bersetuju dengan beberapa pandangan terbuka Dr. al-Qaradawi dan menuduh beliau sebagai menyeleweng dan sesat.

Mungkin faktor inilah yang menyebabkan Dr. al-Qaradawi mengambil pendirian berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya supaya tidak dianggap menyalahi pegangan agama yang telah menjadi pandangan umum masyarakat negara-negara Arab itu.

Penulis berani berkata begitu kerana Dr. al-Qaradawi bertindak berbeza ketika berada di Mesir yang lebih bebas dan terbuka kepada semua aliran atau mazhab Islam.

Universiti Al-Azhar sendiri tidak bermazhab atau sekurang-kurangnya memberi perhatian kepada semua mazhab termasuk Syiah. Dengan itu tidak hairanlah jika pandangan yang disuarakan oleh Dr. al-Qaradawi dalam akhbar dan majalah Mesir menjadi lebih terbuka kerana relevan dengan pembaca Mesir yang juga berfikiran terbuka.

Itulah juga barangkali yang menyebabkan muncul beberapa pandangan terbuka Dr. al-Qaradawi dalam akhbar dan majalah Mesir termasuk berhubung isu wanita tidak tutup kepala tidak dianggap tidak sempurna Islam atau tidak perlu mengerjakan sembahyang, puasa dan lain-lain ibadah seperti yang penulis telah bincangkan dalam ruangan ini baru-baru ini.

Syeikh Mohammad al-Ghazali lebih terbuka daripada Dr. al-Qaradawi mengenai isu tudung kepala. Malah beliau mendahului Dr. al-Qaradawi dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau juga tidak terlepas daripada diserang dan dikecam oleh ulama-ulama ultrakonservatif dari negara-negara Arab di kawasan Teluk.

Tetapi Syeikh al-Ghazali berbeza daripada Dr. al-Qaradawi kerana beliau berani berhadapan dengan karut-marut para ulama ultrakonservatif. Dalam banyak polemik Syeikh al-Ghazali dengan para ulama berkenaan yang disiarkan dalam akhbar, majalah dan buku, beliau memanggil mereka itu sebagai ulama yang mahu menghidupkan kembali fiqh Badwi yang tidak relevan dengan zaman ini.

Sebagai contoh beliau dengan terang-terang mengkritik ulama Wahhabi yang mengharamkan wanita memandu kereta, menjadi pemimpin dan lain-lain.

Dr. al-Qaradawi tidak bersetuju dengan kritikan Syeikh al-Ghazali terhadap ulama-ulama Wahhabi kerana dianggap terlalu keras.

Berhubung isu tudung kepala, Syeikh al-Ghazali menganggap tidak perlu paksaan. Beliau juga pernah memarahi seorang lelaki yang mahu menceraikan isterinya yang enggan memakai tudung.

Seorang penyanyi terkenal Mesir, Yasmin al-Khayyam yang merupakan anak kepada qari Syeikh Mahmoud Khalil el-Houssari yang sangat tersohor di Malaysia dan seluruh negara Islam, pernah menceritakan bagaimana Syeikh al-Ghazali bertindak dengan dirinya yang tidak bertudung.

Yasmin mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Syeikh al-Ghazali kerana Yasmin berkahwin dengan ahli keluarga Syeikh al-Ghazali.

Selain itu Yasmin juga berguru dengan Syeikh al-Ghazali dalam hal-hal agama. Ketika Yasmin menyatakan hasrat memakai tudung, Syeikh al-Ghazali mengalu-alukannya, tetapi memberitahu ia mesti dilakukan atas keyakinan sendiri.

Bagaimanapun, Syeikh al-Ghazali menasihati Yasmin supaya tidak meninggalkan bidang nyanyian kerana beliau mahu penyanyi yang komited dengan ajaran agama seperti Yasmin menjadi model kepada penyanyi-penyanyi lain dan juga orang ramai.

Malangnya Yasmin tidak mendengar nasihat Syeikh al-Ghazali itu dan beliau meninggalkan juga bidang seni.

Kali pertama bertudung, Yasmin hanya memakai songkok atau kopiah yang menutupi sebahagian besar rambut. Syeikh al-Ghazali yang melihat perubahan Yasmin itu mengulas bahawa beliau baru dalam peringkat awal.

Lama selepas itu Yasmin muncul dengan tudung sebenar tapi tidak menutup seluruh rambutnya, Syeikh al-Ghazali mengulas bahawa beliau telah maju setapak lagi ke depan.

Kemudian Yasmin muncul buat kali ketiga dengan pakaian tudung sepenuhnya tetapi bergaya dan tidak hilang imejnya sebagai penyanyi dan penghibur, Syeikh al-Ghazali mengulas bahawa kali ini baru penyanyi yang menjadi anak didiknya itu berpakaian tepat dengan peraturan memakai hijab.

Cerita Yasmin ini terkandung dalam buku al-Fannanat al-Muhtajibat (Seniwati-seniwati Berhijab).

Minta maaf kerana penulis tidak dapat membincangkan pandangan pemikir Islam Mesir terkenal Fahmi Huweidi berhubung isu aurat atau tudung ini.

Beliau seperti yang penulis pernah jelaskan baru-baru ini menganggap tudung kepala wajib tetapi menjaga sopan santun, akhlak dan maruah (al-ihtisyam) lebih utama.

Terpaksa diketepikan pandangan Fahmi Huweidi kerana penulis akan menggunakan baki ruang yang ada untuk membincangkan pandangan Gamal al-Banna yang menganggap tudung kepala merupakan adat yang bermaksud tidak wajib.

Gamal al-Banna yang merupakan adik bongsu kepada Mursyid Am al-Ikhwan al-Muslimun Syeikh Hassan al-Banna itu berkata, tiada bidang dikuasai adat resam atas nama Islam melebihi (yang berlaku ke atas) wanita.

Sesetengah arahan bersifat umum tentang pakaian, hiasan dan adab telah digunakan untuk mendirikan penjara bagi wanita dengan tujuan untuk menjauhkan mereka daripada kehidupan harian dan menghalang mereka daripada belajar dan bekerja selain daripada bergaul dengan lelaki. Adat resam yang diwarisi bercampur aduk dengan kecenderungan lelaki.

Yang dimaksudkan kecenderungan lelaki di sini ialah kecenderungan yang menghasilkan adat resam yang menjadi hukum yang tidak berpihak kepada wanita.

Seterusnya Gamal al-Banna berkata, tidak dipertikaikan bahawa wanita dalam dakwah Islam hari ini berbeza dengan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.

Mereka kini tidak memenuhi masjid untuk mengerjakan sembahyang dan meraikan perayaan. Mereka juga tidak ikut serta dalam kerja-kerja amal makruf dan nahi mungkar seperti dikehendaki Allah.

Mereka tidak memperlihatkan perhiasan mereka kepada kumpulan 12 yang disebut dalam al-Quran dan mungkin juga tidak akan diberikan haknya yang sah dalam pembahagian harta.

“Saya telah menghadiri beberapa forum di Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Perancis dan Switzerland yang diasingkan wanita daripada lelaki atau diasingkan mereka jauh di satu tempat yang menghubungkan mereka dengan forum melalui litar televisyen.

“Sedangkan pada zaman Rasulullah wanita mengerjakan sembahyang di masjid, mereka bercakap dengan Rasulullah dan baginda juga bercakap dengan mereka. Dan wanita juga pernah menyanggah pandangan Omar bin al-Khattab dan Omar pun terpaksa mengalah kepadanya.

“Tetapi perkara ini tidak berlaku dalam pelaksanaan dakwah Islam pada masa ini. Faktor psikologi dan adat resam telah menjadi faktor penguasa dan menyebabkan isu wanita menjadi salah satu isu kompleks dakwah Islam dan hijab (tudung) menjadi simbol Islam.”

Menurut Gamal al-Banna, al-Quran hanya menerangkan tentang konsep yang umum mencakupi lelaki dan wanita. Ia melarang wanita membuka dada dan bermain dengan kaki untuk menunjukkan hiasan-hiasan tersembunyi (seperti gelang kaki). Semua itu adalah arahan yang bersifat umum yang menuntut berlaku sopan dan bukan menuntut memakai bentuk pakaian tertentu.

Soal pakaian, makanan, minuman dan lain-lain adat dalam perhubungan sosial bukan tergolong daripada akidah, tetapi tergolong daripada urf (adat resam) yang diakui al-Quran ketika ia menggariskan konsep amal ma’ruf dan nahi mungkar. (Gamal al-Banna, Mas’uliyyah Fasyl ad-Daulah as-Islamiyyah, muka surat 35-36).

Akhir sekali penulis petik pandangan Gamal al-Banna ini sebagai kesimpulan. Beliau berkata: “Sepatutnya wanita Islam beriltizam dengan adab sopan Islam tetapi ini bukan bererti mesti berpegang dengan pakaian hijab yang terkenal itu.



“Dan jika wanita mahu menutup rambut mereka memadailah dengan memakai songkok yang menutupi rambut yang dikehendaki.” – (ibid, muka surat 84).

1 comment:

  1. Pendapat beberapa syeikh adalah sekadar pendapat, tidak boleh menjadi dalil hukum. Maka merujuk pedapat mereka hanya membuang masa. Yang boleh menjadi dalil hukum hanya semata-mata Quran.

    ReplyDelete